Monday, 16 May 2016

Kepentingan dan impak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif

Berfikir merupakan fungsi semula jadi daripada manusia. Fikiranlah yang membezakan antara haiwan dan manusia. Mengapakah kemahiran berfikir perlu diajar? Kemahiran berfikir perlu diajar kerana manusia berfikir tidak sewajar yang dimampukan. Hal ini dapat dilihat semasa kita membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Pemikiran yang baik bergantung kepada pengurusan pemikiran yang baik dan ini mampu dilatih dan dipupuk melalui pendidikan di sekolah.

Terdapat beberapa kepentingan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Antaranya:
  1. Memupuk dan mewujudkan pemikiran yang baik dan berkesan
  2. Mengamalkan budaya berfikir secara kritis dan kreatig
  3. Mengelakkan kesilapan berfikir


Memupuk dan mewujudkan pemikiran yang baik dan berkesan

Pemikiran yang baik dapat dilihat dari segi hasilnya seperti:
  1. Kesimpulan yang dibuat adalah lebih dipercayai
  2. Keputusan yang dihasilkan adalah lebih bijak
  3.  Perkara yang dikaji dapat dilihat dengan lebih mendalam
  4.  Ciptaan yang dihasilkan adalah lebih kreatif
  5. Segala kritikan yang dibuat adalah lebih membina
  6. Hasil yang dicipta adalah lebih berseni


Pelajar tidak akan dapat menajdi pemikir yang baik sekiranya mereka tidak dilatih dengan aktiviti yang menjurus ke arah mengahsilkan output seperti di atas. Pemikiran yang baik adalah daripada proses pemikiran yang baik. Pelajar-pelajar perlu dilatih dan mengalami proses yang pelbagai untuk menuju ke arah pemikiran yang baik, berkesan dan tajam melalui proses seperti berikut
  1. Melihat kemungkinan-kemungkinan yang ada
  2. Menjelajah pemikiran dengan lebih jauh dan mendalam
  3.  Mengumpul banyak maklumat
  4. Menggunakan penilaian yang lebih rapi dan teliti
  5. Mencabar andaian
  6. Mengekalkan keobjektifan dan keseimbangan


Keputusan yang baik adalah hasil daripada pengurusan yang baik, iaitu melihat pilihan-pilihan baru dan bukan melihat satu aspek sahaja. Semasa membuat keputusan seseorang itu juga akan terlibat dengan kemahiran-kemahiran kecil membuat keputusan seperti membanding beza, melihat kesan dan akibat, menilai dan sebagainya. Apabila seseorang itu telah biasa dengan proses ini, corak pemikiran begini akan menjadi kebiasaan dan amalannya. Inilah yang diharapkan dalam sistem pendidikan kita.

Mengamalkan budaya berfikir secara kritis dan kreatif

Pemikiran kritis dan kreatif sangat diperlukan untuk tenaga kerja pada masa hadapan. Kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan menjadi keperluan bagi kebanyakan pekerjaan. Oleh itu, semua pihak seharusnya terlibat dan memainkan peranan yang penting terutama guru sama ada yang sedang mengajar di sekolah ataupun yang masih dalam latihan. Masa hadapan generasi akan datang bergantung kepada kepimpinan dan tunjuk ajar guru. Dengan itu, KBKK digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk membolehkan pelajar:

1)Mendapat latihan berfikir secara kritis dan kreatif untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijak.
2)  Mengaplikasikan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir secara lebih praktikal sama ada di dalam atau di luar sekolah
3) Menghasilkan idea atau ciptaan yang kreatif dan inovatif
4) Mengatasi kesilapan-kesilapan berfikir yang terburu-buru, bercelaru, kabur dan sempit.
5) Meningkatkan aspek kognitif dan afektif dan seterusnya perkembangan intelek mereka.
6)Bersikap terbuka dalam menerima dan memberikan pendapat, membina keyakinan diri untuk memberikan hujah, membuat pertimbangan berdasarkan alasan dan bukti serta berani memberikan pandangan dan kritikan

Mengelakkan kesilapan berfikir

Kita sering melakukan kesilapan semasa berfikir terutama ketika membuat sesuatu keputusan dan menyelesaikan masalah. Kesilapan yang sering kita lakukan semasa berfikir adalah kerana berfikir secara terburu-buru, sempit, kabur dan bercelaru.

1.      Fikiran yang terburu-buru
Keselipaan ini berlaku apabila kita bertindak secara tergesa untuk membuat keputusan atau menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini demikian kerana kita tidak menggunakan masa yang cukup untuk bertindak. Apabila keadaan ini terjadi maka berlakulah kesilapan-kesilapan yang tidak seharusnya berlaku.

2.      Fikiran yang sempit
Kelemahan ini berlaku apabila kita cuba membendung fikiran kita daripada melihat sesuatu itu dengan lebih luas. Kita juga tidak berusaha untuk memberi pertimbangan yang wajar, mencari makna yang tersirat, menerokai bukti-bukti lain yang nyata, meninjau pandangan-pandangan orang lain, memilih altenatif-altenatif dan mengkaji kemungkinan-kemungkinan lain. Akibat daripada tindakan seperti ini, kita mungkin terlepas pandangan untuk membuat keputusan yang terbaik.

3.      Fikiran yang kabur
    Kesalahan ini berlaku apabila idea yang hendak kita sampaikan itu tidak jelas dan tidak menepati objektif yang dikehendaki. Umpamanya mungkin kita tidak memperjelas sesuatu konsep itu dengan lebih terperinci dengan memberi tafsiran dan contoh-contoh yang nyata. Dengan itu berlakulah kesamaran pada idea yang hendak kita sampaikan.

4.      Fikiran yang bercelaru
     Kelemahan ini berlaku apabila kita tidak merancang dan menyusun idea yang hendak kita sampaikan itu dengan cara yang sistematis. Idea yang hendak kita hendak kita sampaikan itu lazimnya kita sampaikan secara rawak, iaitu tidak disusun mengikut urutan atau prinsip-prinsip tertentu. Dengan itu berlakulah perulangan dan pertindahan idea tanpa arah dan hala tuju tertentu.

1 comment: